Persahabatan

Singapura Teruja Lawan Pasukan Ke-6 Dunia

Copy of Thumbnail Artikel MB Wan 20261108 095407 0000 Singapura Teruja Lawan Pasukan Ke-6 Dunia
Malaysia NT
Advertisements

Pasukan kebangsaan Singapura bakal berdepan ujian paling getir apabila dijadual menentang dua gergasi Amerika Selatan, termasuk juara dunia lima kali, bulan ini.

Kedua-dua perlawanan itu berlangsung dalam kejohanan Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore dari 13 hingga 17 November 2026 di Stadium Nasional. Siri ini menjadi sebahagian persiapan menjelang Piala Asia.

Ketua jurulatih Singapura, Gavin Lee telah mengumumkan senarai 24 pemain untuk menentang Paraguay, pasukan ke-33 dunia, pada Jumaat, 13 November (8.00 malam). Empat hari kemudian, pada Selasa, 17 November (6.00 petang), The Lions akan bertemu Brazil.

Walaupun berdepan lawan bertaraf dunia, pengendali The Lions itu menegaskan pendekatan pasukannya tidak berubah.

“Paraguay dan Brazil adalah dua pasukan yang kerap bersaing di peringkat tertinggi bola sepak antarabangsa, dan kami tahu mereka akan memberikan cabaran besar.

Inilah jenis ujian yang kami perlukan untuk terus memperbaiki diri, menerima ketidakselesaan dan berusaha untuk tiba di Piala Asia sebagai versi terbaik diri kami,” katanya.

Kejutan utama senarai kali ini ialah kemasukan pemain tengah Balestier Khalsa, Woo Chun Wei, yang menerima panggilan sulung ke skuad senior pada usia 21 tahun.

“Chun Wei telah menunjukkan kematangan dan konsistensi dalam persembahannya bersama Balestier, terutamanya bagi pemain seusianya.

“Ini akan menjadi peluang untuknya merasai pengalaman bola sepak antarabangsa, dan kami berharap ia akan memberi inspirasi kepadanya untuk terus belajar,” jelas jurulatih itu.

Pemain tengah Hougang United, Saifullah Akbar, turut kembali ke skuad, begitu juga dua pemain pertahanan Geylang International, Joshua Pereira dan Darren Teh.

Sebaliknya, bek Lion City Sailors, Nur Adam Abdullah terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ACL ketika menentang Young Lions pada 11 Oktober.
Penyerang Thespa Gunma, Ikhsan Fandi, dan Perry Ng juga tercicir akibat kecederaan.

“Malang sekali Nur Adam tidak dapat beraksi untuk tempoh yang belum pasti, dan kami mendoakan pemulihannya berjalan lancar. Kecederaan adalah sebahagian daripada bola sepak, dan ia juga membuka peluang kepada pemain lain untuk tampil,” ujar ketua jurulatih muda itu.

Skuad 24 pemain itu terdiri daripada tiga penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, 12 pemain tengah dan dua penyerang. Penjaga gol yang dipanggil ialah Izwan Mahbud (Young Lions), Ridhuan Barudin (Hougang United) dan Syazwan Buhari (Tampines Rovers), manakala barisan pertahanan dibarisi Hariss Harun, Joshua Pereira, Raoul Suhaimi, Safuwan Baharudin, Ryhan Stewart, Lionel Tan dan Darren Teh.

Di bahagian tengah, 12 pemain yang dipilih ialah Joel Chew, Farhan Zulkifli, Hami Syahin, Haziq Kamarudin, Glenn Kweh, Jacob Mahler, Kyoga Nakamura, Saifullah Akbar, Shah Shahiran, Song Uiyoung, Harhys Stewart dan Woo Chun Wei, sementara jentera serangan diterajui Ilhan Fandi dan Shawal Anuar.

Skuad ini turut menggabungkan pemain liga tempatan dengan mereka yang beraksi di luar negara, termasuk Safuwan Baharudin (Selangor FC) dan Harhys Stewart (Chiangrai United).