Skandal FA Korea Makin Parah
MakanBola
Korea FA

Selepas berdepan siasatan polis berhubung isu pelantikan bekas jurulatih, Hong Myung-bo, Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) kini dilanda skandal baharu.

Korea Football News melaporkan KFA menyediakan khidmat hiburan seksual kepada pengadil asing membabitkan tujuh perlawanan pada 2011 dan 2012. Antaranya perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 dan kelayakan Sukan Olimpik 2012.

Antara pegawai perlawanan yang didakwa menerima suapan tersebut ialah Ryuji Sato, Ravshan Irmatov, Nawaf Shukrallah dan Yuichi Nishimura.

Seorang bekas pegawai KFA yang tidak didedahkan identitinya memaklumkan kepada stesen televisyen Korea Selatan, JTBC bahawa pemberian suapan tersebut merupakan amalan biasa.

Malah, Presiden KFA pada ketika itu, Cho Chung-yun mengambil serius hal berkenaan. Jika Korea Selatan beraksi buruk, Chung-yun dikatakan akan memarahi staf persatuan dan bertanya sama ada pegawai yang diberi suapan telah mendapat hiburan sewajarnya atau tidak.

Hal ini kemudiannya diketahui menerusi audit kerajaan Korea Selatan yang diadakan pada 2016. Audit tersebut mendedahkan bayaran suapan hiburan dibuat menerusi kad kredit korporat KFA.

Skandal tersebut kemudiannya ditutup oleh Lembaga Pemeriksaan dan Audit Korea Selatan dan hanya diketahui menerusi laporan media pada Julai lalu.

Apabila ditanya mengapa skandal tersebut tidak didedahkan, seorang pegawai audit yang tidak didedahkan identitinya memaklumkan tindakan itu dibuat demi menjaga maruah Korea Selatan.

“Sekiranya skandal ini diketahui, ini akan menjejaskan prestij negara. Negara-negara lain juga lakukan perkara sama jadi kita tak boleh jadi satu-satunya yang mendedahkannya,” katanya kepada JTBC.

Susulan pendedahan tersebut, KFA kemudiannya memaklumkan sukar untuk mereka mengesan semua dokumentasi berhubung skandal berkenaan memandangkan perkara itu berlaku 15 tahun lalu.

Badan induk bola sepak Korea Selatan itu juga telah mengetatkan prosedur penggunaan kad kredit korporat mereka. KFA kemudiannya tampil memohon maaf atas apa yang berlaku.

Pada masa sama, badan induk itu menegaskan isu penyalahgunaan kad kredit korporat tidak pernah berlaku dalam kalangan barisan kepimpinan KFA hari ini.

Meskipun begitu, polis Korea Selatan memaklumkan bahawa siasatan mereka ke atas KFA bakal diperluaskan kepada skandal berkenaan. Salah satu isu yang akan diambil kira ialah had statut untuk jenayah di negara itu.

Had statut untuk kebanyakan jenayah di Korea Selatan ialah 15 tahun. Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) pula dijangka menyiasat penglibatan dua pengadil Jepun yang didakwa terpalit dalam skandal tersebut.

Isu ini secara tidak langsung turut mendedahkan hubungan baik bekas pengadil Malaysia, Subkhiddin Salleh dengan KFA. Semasa beliau aktif sebagai pengadil, Subkhiddin bertanggungjawab mengadili lima perlawanan Korea Selatan.

Antaranya perlawanan persahabatan antara Jerman dan Korea Selatan pada Disember 2004 dan perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Asia antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Selepas bersara, Subkhiddin banyak berkelana ke Korea Selatan untuk membantu pembangunan pengadil bola sepak negara itu. Beliau kini memikul sebagai Ketua Tenaga Pengajar dan Penasihat Pembangunan Pengadil KFA sejak 2021.