Skuad kebangsaan Harimau Malaya terus menjalani latihan harian seperti biasa pada hari ini namun suasana sewaktu sesi latihan tersebut meraih perhatian ramai apabila kedengaran lagu-lagu K-pop diputarkan.
Dalam satu video pendek di Twitter, Zulhelmi Zainal Azam yang merupakan wartawan sukan melaporkan skuad kebangsaan menjalani latihan hari ke-5 namun lagu latar didalam video terbabit mendapat perhatian netizen apabila lagu yang diputarkan adalah lagu K-pop bertajuk How You Like That oleh kumpulan terkenal BLACKPINK.
Malah dalam satu lagi video perkongsian milik Zulhelmi, kedengaran satu lagi lagu K-pop dari kumpulan After School berjudul Weekly. Ditambah lagi dengan kehadiran ketua jurulatih baharu yang berasal dari Korea Selatan, nampak gaya skuad Harimau Malaya mula menyesuaikan diri dengan Kim Pan Gon.
Walaupun lagu yang diputarkan sekadar mewarnai sesi latihan skuad kebangsaan, tidak keterlaluan untuk mengatakan pemasangan lagu-lagu K-pop ini adalah untuk menaikkan lagi semangat skuad kebangsaan sewaktu berlatih. Ini kerana lagu-lagu bersifat rancak ini mampu menyuntik tenaga dan mengelak rasa lesu kepada para pemain.
Mungkin juga ini adalah salah satu strategi latihan Kim Pan Gon dalam memastikan para pemain terus bersemangat dalam menjalani sesi latihan. Skuad negara masih berbaki 4 hari latihan lagi sebelum berlepas ke Singapura bagi aksi perlawanan persahabatan.