Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) Bawah 14 Tahun (B-14) muncul juara Piala Supermokh 2024.
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan juara bertahan kategori berkenaan, Buriram United dalam aksi final yang berlangsung pada 18 November lalu.
Meskipun dilabel pasukan bukan pilihan berbanding Buriram, perkara itu langsung tidak menggentarkan anak buah Rodolfo Villa itu.
Aksi final yang berlangsung di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) itu menyaksikan kapten Harimau Selatan, Fareez Danial Fadzly meledakkan dua gol melepasi pasukan Thailand itu.
Fareez menyifatkan kejayaan ini cukup manis lebih-lebih dengan status pasukan itu yang pernah bergelar juara Piala Supermokh sebanyak tiga kali.
“Buriram ini juara (Piala Supermokh) tiga kali berturut-turut. Kita tahu mereka antara pasukan terbaik yang bersaing dalam Piala Supermokh.
“Tapi pasukan kita ialah JDT. Kita tak takut sebab kita memang datang sini dengan mentaliti jadi juara. Jadi, bagi saya itu bukan tahap saya untuk lawan mereka,” katanya kepada media selepas perlawanan.
JDT B-14 mengikut jejak skuad senior mereka yang telah menjulang beberapa trofi untuk musim 2024. Ini termasuk pasukan JDT III yang bergelar juara Piala Presiden 2024 baru-baru ini.