Johor Darul Ta’zim (JDT) II kini terus menghambat posisi Selangor II dalam kedudukan carta Liga A1 Semi-Pro.
Saingan Liga A1 Semi-Pro sudah pun memasuki minggu ke-16 dengan kesemua kelab kini sedang rancak memperbaiki kedudukan dalam carta liga selepas separuh musim berlalu.
Kedudukan semasa menyaksikan dua kelab feeder sedang menerajui carta Liga A1 Semi-Pro membabitkan Selangor II dan JDT II yang ketika ini terikat 36 mata setelah harungi 16 aksi.
Selangor II merekodkan dua kekalahan berturut-turut kepada JDT II minggu lalu di Sepang sebelum sekali lagi tumbang di tangan Kelantan Red Warrior semalam sekaligus tercicir mata penting.
Manakala 3 kemenangan berturut-turut yang dicatatkan oleh JDT II membantu pasukan kendalian Josep Ferre ini melonjak ke tangga kedua Liga A1 Semi-Pro dan terus menekan posisi Selangor II.
Walaupun berkongsi 36 mata, namun Selangor masih miliki kelebihan untuk kekal di puncak oleh kerana perbezaan gol yang lebih memihak pasukan muda Gergasi Merah itu ketika ini.
Persaingan dilihat rancak membabitkan 5 kelab di tangga ke-3 hingga ke-7 selepas masing-masing hanya dibezakan satu mata sahaja sekaligus hangatkan lagi pemburuan kedudukan terbaik liga.