Pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Bawah 11 Tahun (B-11) bakal membawa cabaran Malaysia dalam saingan Copa Bellmare 2024 di bumi Jepun.
Penyertaan pasukan itu diumumkan NFDP menerusi satu pengumuman di platform media sosial rasmi mereka.
Copa Bellmare 2024 bakal berlangsung pada 22 dan 23 Jun ini di Banyu Fureai Football Park, Kanagawa, Jepun.
Penyertaan pasukan ini dilihat sebahagian daripada usaha pengarah baru NFDP, Oscar Gonzalez untuk meningkatkan lagi kualiti permainan pemain negara terutama di peringkat akar umbi.
Copa Bellmare 2024 bakal menyaksikan penyertaan beberapa pasukan akademi J1 League seperti Shonan Bellmare, Kashima Antlers Tsukuba Junior dan Urawa Reds.
Kejohanan ini turut menarik penyertaan beberapa pasukan dan akademi bola sepak antarabangsa seperti SC Palmieras (Brazil), ASIOP Football Academy (Indonesia), FCK (Korea Selatan) dan Beijing Yuan Sheng (China).
Pasukan NFDP B-11 ini dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Juzaili Samion. Namanya pernah menjadi sebutan satu ketika dahulu kerana menjadi sebahagian daripada kelompok pemain negara yang beraksi di kelab Eropah dari 1999 hingga 2001.
Skuad NFDP B-11 bakal bersaing dalam kumpulan B bersama pasukan Fujisawa TC, Kashima Antlers Tsukuba Junior dan Hadano TC.
Perlawanan peringkat kumpulan Copa Bellmare 2024 dijadualkan berlangsugn pada 22 Jun. Ini disusuli perlawanan peringkat seterusnya yang akan diadakan pada 23 Jun.