Skuad wanita Malaysia nyaris mencatatkan kejutan ke atas negara ke-72 dunia, Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa sebelum kalah tipis pada lewat malam Rabu.
Kekalahan tipis 4-3 dialami oleh skuad wanita Malaysia dalam perlawanan pertama siri persahabatan antarabangsa pada bulan Jun ini dengan Malayan Tigress sempat melakar kejutan apabila mendahului selesa ke atas Jordan di babak pertama.
Kesebelasan utama Malaysia dibarisi pemain berpengalaman dan bintang muda antaranya Nur Lyana Soberi selaku ketua pasukan, Asma Junaidi di pintu gawang selain duo serangan Selangor, Ainsyah Murad serta Najwa Irdina.
Seawal minit ke-7, tuan rumah terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Marah Tayeh yang melepaskan percubaan kencang di dalam kotak penalti, berpunca daripada situasi kelam-kabut ketika tendangan sudut buat Jordan.
Pasukan wanita negara enggan menyerah kalah dan berjaya menyamakan kedudukan hasil percubaan jarak jauh dari Nur Ainsyah Murad yang terus menerjah ke gawang dan menewaskan penjaga gol, Malk Shannak di minit ke-18.
Sebelum rehat, Najwa Irdina berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-25 dan 37 bagi meletakkan Malayan Tigress di hadapan buat kali pertama sekali gus mengejutkan Jordan yang kini menduduki ranking FIFA ke-72 dunia.
Impian skuad wanita Malaysia untuk menewaskan Jordan bagaimanapun tidak kesampaian selepas ketua pasukan, Jordan Maysa Jebarah berhasil mencetak dua jaringan pada babak kedua untuk mengikat kedudukan 3-3.
Penyerang gantian, Roukayah Alfarajeh memadam impian Malayan Tigress bagi mencipta kejutan selepas bijak menerima umpanan dan mencetak gol kemenangan buat skuad tuan rumah ketika aksi memasuki masa tambahan.
Aksi di Stadium Raja Abdullah, Amman berakhir dengan kemenangan tipis 4-3 memihak Jordan dengan pasukan wanita Malaysia bakal turun berdepan Palestin dalam perlawanan seterusnya pada 6 Jun hadapan di Stadium Petra.