Advertisement
Sony Norde Harap Ada Sinar Buat Kedah
Piala Malaysia
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pemain sayap Haiti, Sony Norde mengharapkan ada sinar buat pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang KL City FC pada 1 Disember lalu merupakan aksi terakhir Norde bersama Sang Kenari.

Ini kerana bekas pemain sayap Terengganu FC itu bakal berhijrah ke Indonesia untuk menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Malut United. Beliau menjadi pemain terbaru memilih meninggalkan Kedah.

Meskipun tidak lagi bersama Sang Kenari, pemain sayap berusia 35 tahun itu berharap ada sinar buat pasukan itu yang bergelut dengan masalah kewangan.

“Saya rasa sedih untuk meninggalkan (Kedah). Saya fikir ini aksi terakhir saya bersama Kedah. Kita sudah mencuba yang terbaik tetapi moral buat pemain tidak ada.

“Kita dibolosi tiga gol pada peringkat awal. Apabila kita cuba bangkit, itu sudah terlambat. Tapi kita sudah mencuba yang terbaik dan saya harap pihak pengurusan boleh melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah (kewangan) ini.

“Ini kerana para pemain tidak berhak hadapi situasi ini. Mereka sudah berjuang dalam setiap perlawanan dan mereka berhak mendapat yang lebih baik,” katanya seperti yang dilaporkan Harimau Malaya.

Sepanjang bersama Kedah, Norde merekodkan 19 penampilan dan empat gol. Ini termasuk dua gol yang dijaringkan dalam aksi pertama di Alor Setar pada 22 November lalu.

Kedah tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2024/25 apabila tewas 6-4 secara agregat kepada KL City. Pasukan itu kini bersedia untuk bersaing dalam MFL Challenge Cup 2024/25.