Sri Pahang FC berpeluang mengakhiri penantian 11 tahun mereka untuk mara ke final Piala Malaysia.
Tok Gajah yang dibimbing Fandi Ahmad berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia. Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Perak FC di peringkat suku akhir.
Sri Pahang dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 4-3 secara agregat ke atas The Bos Gaurus. Hatrik pemain sayap Argentina, Manuel Hidalgo memastikan kemaraan Tok Gajah.
Menariknya, ini kali pertama Sri Pahang mara ke separuh akhir Piala Malaysia sejak edisi 2015. Walau bagaimanapun, kemaraan mereka disekat oleh penyandang juara, Selangor FC.
Selepas diikat seri tanpa jaringan dalam aksi separuh akhir pertama, The Red Giants meraih kemenangan 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua. Guilherme de Paula dan Nazmi Faiz Mansor mencipta nama sebagai penjaring.
Tok Gajah berharap situasi sama tidak berulang apabila menentang Sabah FC di peringkat separuh akhir edisi 2024/25.
Prestasi semasa dilihat memberi keyakinan kepada Sri Pahang. Ini kerana pasukan itu hanya tewas sekali dalam lima aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan.
Selain itu, Tok Gajah juga mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Piala Malaysia. Ini kerana pasukan itu merekodkan dua kemenangan dan dua keputusan seri.
Momentum itu dijangka menjadi azimat anak buah Fandi sehingga ke pentas final. Sekiranya mereka berjaya ke final, Sri Pahang berpeluang mengintai kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima.
Hasrat ini dizahirkan Hidalgo selepas melihat pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Baginya, ia satu perkara yang mampu menceriakan penyokong.
“Saya harap penyokong dapat terus menyokong kita. Kita akan pergi (beraksi) lebih awal dan cuba beraksi di final. Kita mahu beri aksi terbaik di Bukit Jalil,” katanya.
Tok Gajah muncul juara kejohanan itu sebanyak empat kali iaitu 1983, 1992, 2013 dan 2014. Kejayaan edisi 2014 dicapai dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi sepakan penalti.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat 120 minit perlawanan. Pada akhirnya, Khairulazhan Khalid menjadi wira Sri Pahang dengan menafikan penalti Norshahrul Idlan Talaha.