Kejayaan Sri Pahang mara ke pentas final Piala Malaysia telah mendapat perhatian bekas tonggak import kegemaran ramai, Dickson Nwakaeme.
Sri Pahang berjaya mengesahkan tempat di perlawanan akhir Piala Malaysia setelah menewaskan kelab dari Borneo, Sabah dalam aksi separuh akhir yang penuh dramatik di Temerloh.
Aksi yang berlangsung selama 120 minit itu menyaksikan Sri Pahang berada di hadapan hasil kesilapan pertahanan, Park Tae-su yang tertanduk bola ke gawang sendiri di minit ke-72.
4 minit kemudian, Sabah kembali mengikat kedudukan 1-1 menerusi sentuhan S. Kumaahran sebelum Kpah Sherman muncul wira Sri Pahang dengan gol ketika masa tambahan.
Kemenangan bersejarah buat Sri Pahang ini turut mendapat perhatian oleh bekas pemain import, Dickson Nwakaeme yang sempat meninggalkan komen di media sosial pasukan.
Nwakaeme yang pernah menyarung jersi skuad Tok Gajah itu meninggalkan komen berbentuk emoji api serta hati sebagai tanda kehebatan dan kecintaan buat pasukan Sri Pahang itu.

Nama Nwakaeme sememangnya diingati peminat bola sepak tempatan memandangkan penyerang dari Nigeria ini pernah bersama pasukan Kelantan dan Pahang suatu ketika dahulu.
Malah, Nwakaeme turut mendapat gelaran ‘orang besi’ dalam kalangan peminat oleh kerana sosok tubuh yang besar selain bersasa hingga menyukarkan pemain lawan mengawasinya.
Menanti Sri Pahang di final nanti adalah juara bertahan yang juga gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tarikh dan venue yang akan dimaklumkan kemudian.