Steve Darby Puji Usaha Tunku Ismail Revolusikan Bola Sepak Malaysia
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

Usaha DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam merevolusikan bola sepak Malaysia dan pasukan Harimau Malaya telah meraih perhatian jurulatih berbangsa Inggeris, Steve Darby.

Pasukan Harimau Malaya menjadi tumpuan ramai ketika ini apabila menerima nafas baharu hasil projek revolusi yang dipimpin oleh DYAM Tunku Ismail dengan kemasukan pakar dari luar negara.

Rob Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif turut dibantu oleh pakar perubatan iaitu Dr. Craig Duncan serta barisan jurulatih diketuai Peter Cklamovski dilihat memberi sinar baharu untuk Harimau Malaya.

Gabungan kepakaran luar, pemain tempatan dan warisan kini tampak memberikan impak positif selepas kejayaan Harimau Malaya menewaskan Vietnam untuk mendahului kumpulan F Kelayakan Piala Asia.

Oleh itu, Steve Darby yang sememangnya sinonim di rantau Asia Tenggara menganggap kehadiran individu berpengaruh bersama kewangan kukuh amat penting bagi pembangunan bola sepak.

“Sumber kewangan peribadi merupakan faktor yang penting dalam pembangunan bola sepak.”

”Thailand memiliki Newin Chidchob, Presiden Kelab Buriram United dan Madam Pang dari Kelab Port FC.”

“Manakala Malaysia sudah tentu adanya DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang telah mengangkat nama Johor Darul Ta’zim (JDT) ke suatu tahap lebih tinggi,” ujarnya ketika ditemu bual oleh VNexpress.

Malah, dalam sesi temu bual tersebut, Steve Darby sempat membuka cerita ketika melatih pasukan Johor suatu masa dahulu dengan hanya dua orang pembantu dan tanpa adanya bilik persalinan.

Lalu, hadirnya Tunku Ismail yang membawa satu perubahan secara menyeluruh kepada bola sepak negeri Johor dengan kemudahan infrastruktur dan padang berkelas dunia hingga nama JDT dikenali.

“Saya pernah membimbing JDT (Johor FA) pada tahun 1998 sehingga 2001.”

“Ketika itu, kami hanyalah pasukan kejurulatihan yang terdiri daripada 3 orang dan tiada bilik persalinan di padang bola lalu Tunku Ismail telah mengubah JDT secara menyeluruh.”

“Baginda telah membina kemudahan latihan yang hebat dan padang bola sepak yang menjadi tumpuan dan impian setiap penyokong,” kata beliau yang pernah melatih Johor, Kelantan dan Perak.

Kini, Steve Darby melihat usaha yang sama sedang dilakukan oleh Tunku Ismail buat pasukan kebangsaan dengan mencari pemain warisan sebagai salah satu cara memperkasa skuad Harimau Malaya.

“Mereka mencari dan menaturalisasikan pemain berdarah Sepanyol atau Amerika Selatan.”

“Baginda juga mengumpulkan petugas khas untuk menjejak pemain berdarah Malaysia, seperti Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Endrick dos Santos dan Romel Morales.”

“Gelombang naturalisasi pemain berdarah Malaysia yang sedang berlaku belakangan ini juga adalah hasil usaha besar daripada Tunku Ismail,” ujar beliau dengan nada kagum.

Sejak projek revolusi ini bermula, seramai 7 orang pemain warisan Malaysia yang sudah berjaya dipanggil menyertai skuad kebangsaan antaranya pertahanan Alaves, Facundo Garces.

Pasukan negara juga dilihat berada di laluan terbaik untuk mara ke Piala Asia 2027 apabila mengungguli kumpulan F dengan mengutip 6 mata maksimum tatkala berbaki 4 lagi perlawanan.