Stuart Ramalingam Jelaskan Isu Nilai Tajaan Yang Tak Didedahkan

Stuart Ramalingam MFL Stuart Ramalingam Jelaskan Isu Nilai Tajaan Yang Tak Didedahkan
MFL
Azim Noor @mohdazim45
6:28pm 16/02/2023

Penstrukturan semula Liga Super menyaksikan pertambahan rakan penaja untuk MFL termasuk yang terbaru, Colgate dan BubblesO2. Tetapi sesetengah enggan mendedahkan nilai tajaan mereka secara terbuka – satu perkara yang dihormati oleh CEO MFL, Stuart Ramalingam.

Beliau sedar isu ini menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak kenapa itu berlaku. Berbeza pada tahun-tahun sebelumnya, MFL dilihat terbuka dalam mendedahkan nilai tajaan yang diterima untuk musim tersebut.

Stuart menegaskan bukanlah niat MFL untuk berahsia tentang nilai tajaan yang diterima. Tetapi sebaliknya, ini bagi menghormati permintaan rakan penaja yang mahu merahsiakan nilai tajaan mereka.

“Itu keputusan korporat daripada pihak MFL dan kita juga sudah maklumkan kepada CEO-CEO pasukan yang merupakan pemegang taruh. Bagi pihak korporat pula, pemberitahuan nilai jumlah tajaan kadang-kala adalah sensitiviti dalaman.

“Ini kerana korporat yang memberi bayaran kepada MFL dan bukannya MFL, jadi kita akan ikut kehendak mereka,” katanya kepada media hari ini.

Tambah Stuart lagi, hak sesebuah syarikat untuk menentukan sama ada mereka mahu mendedahkan nilai tajaan yang diberi atau sebaliknya.

Kehadiran banyak rakan penaja untuk saingan Liga Super bukan sekadar menunjukkan penstrukturan semula liga sudah berhasil. Malah, ini membuktikan MFL sebagai rakan kongsi komersial yang boleh dipercayai.