Suasana bertaraf antarabangsa yang disajikan di Stadium Sultan Ibrahim memberi penanda aras baharu kepada bola sepak Malaysia.
Pertemuan aksi Liga Super antara JDT dan juga Negeri Sembilan di Johor Bharu itu memihak kepada tuan rumah dengan keputusan 3-1.
Perlawanan yang berlangsung pada sebelah petang itu mendapat sambutan luar biasa apabila seramai 19,988 orang penonton hadir bagi menyaksikan aksi tersebut.
JDT juga menduduki tangga pertama bagi kehadiran penyokong tertinggi Liga Super minggu ke-2 dan menjadi satu-satunya pasukan untuk menghampiri angka 20,000 penyokong.
Harimau Selatan meletakkan penanda aras terbaik dari segi fasiliti dan penyediaan venue perlawanan sungguhpun hujan lebat membasahi gelanggang sebelum sepak mula.
Padang Stadium Sultan Ibrahim tidak menunjukkan sebarang kesan lopak sekaligus membuktikan kualiti saliran berada pada tahap terbaik bagi kegunaan rumput jenis zeon zoysia.
Bukan itu sahaja, JDT meningkatkan kawalan keselamatan bagi penyokong yang hadir ke stadium apabila anggota elit Johor Military Force (JMF) yang memakai seragam lengkap dilihat bertugas di kawasan stadium.
Anggota-anggota elit ini turut dibantu oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU), pihak berkuasa dan juga marshall stadium bagi memastikan tahap keselamatan dan kelancaran aktiviti keluar masuk penyokong di stadium berlangsung dengan baik.
Penelitian JDT terhadap segenap aspek perlawanan bola sepak ini bakal mengangkat tahap bola sepak Malaysia ke arah lebih baik selepas pencapaian hebat di atas padang.
JDT juga menjadi wakil tunggal Malaysia untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) iaitu kejohanan kelab tertinggi di Asia tahun 2024.
Pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor itu kini menghuni tangga ke-15 di Asia; merupakan pasukan terbaik Asia Tenggara dan Malaysia ketika ini menurut data Opta Analyst.