Aksi pertama skuad B-22 tahun kebangsaan di pentas Sukan SEA 2023 mula dengan langkah kanan apabila Malaysia cemerlang mencatat kemenangan bergaya keatas Laos.
Turun dengan kesebelasan terbaik pasukan, Malaysia meletakkan gandingan Haqimi Azim, Daryl Sham dan Aliff Izwan di bahagian serangan sementara Sikh Izhan Nazrel mengemudi benteng terakhir pasukan.
Seawal minit pertama permainan, Malaysia hadir dengan percubaan awal menerusi Aliff Izwan Ruslan dengan percubaan sepakan gunting. Bagaimanapun sepakan tersebut sedikit tersasar.
Pada minit keempat permainan, pemain pertahanan Ubaidullah Shamsul memecah kebuntuan untuk jaringan pertama buat Malaysia. Jaringan tersebut terhasil menerusi serangan balas yang diatur Mukhairi Ajmal disusuli percubaan Aliff Izwan yang ditepis penjaga gol sebelum Ubaidullah merembat masuk bola ke gawang.
Ubaidullah Shamsul sekali lagi mencuri tumpuan dalam perlawanan apabila kali ini beliau tertanduk masuk bola ke gawang sendiri. Laos berjaya mengikat perlawanan 1-1 seketika.
Pada minit ke-27 permainan, pemain pertahanan Laos pula tertampan bola ke dalam gawang setelah hantaran deras oleh Safwan Mazlan memerangkap benteng Laos. Jaringan tersebut terus membawa Malaysia mendahuli babak pertama perlawanan dengan keputusan 2-1.
Separuh masa kedua bermula dengan pertukaran pemain dilakukan skuad kebangsaan dengan membawa keluar Daryl Sham dan digantikan dengan Muslihuddin Atiq.
Percubaan terbaik buat Malaysia hadir pada minit ke-62 permainan menerusi Aliff Izwan setelah menerima hantaran lintang daripada Ruventhiran. Namun tandukan Aliff berjaya ditepis keluar penjaga gol Laos.
Percaturan pengendali Malaysia, E. Elavarasan yang membawa masuk Fergus Tierney dan Syahir Bashah ternyata membuahkan hasil apabila Syahir Bashah berjaya mencatat nama sebagai penjaring. Gol ketiga terhasil menerusi rembatan deras Syahir Basyah setelah menerima bola daripada Fergus Tierney.
Pada minit ke-79 permainan, penyerang negara Fergus Tierney berpeluang untuk mendapatkan jaringan tambahan buat Malaysia. Namun tiang menjadi penghalang kepada percubaan yang dihasilkan Fergus Tierney.
Enam minit masa tambahan yang diberikan pengadil terus dimanfaatkan pemain gantian, Najmuddin Akmal apabila beliau menyumbat masuk bola ke gawang lawan. Jaringan keempat Malaysia itu terhasil bermula daripada percubaan luar kotak penalti menerusi Syahir Bashah yang terkena palang, disempurnakan Najmudin dengan mudah.
Tak terhenti setakat itu, sebelum perlawanan tamat, sepakan penjuru yang diambil Syahir Bashah telah terkena kaki pemain Laos. Tampanan yang tidak disengajakan itu sekaligus menghadiahkan gol kelima buat Malaysia.
Perlawanan tamat, Malaysia cemerlang tewaskan Laos, 5-1
Aksi seterusnya menyaksikan Malaysia bakal berdepan pasukan Thailand untuk aksi Kumpulan B pada Sabtu, 6 Mei kelak.