Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin merasakan kemampuan pemain-pemain warisan baharu Malaysia akan memberikan cabaran buat pemain tempatan.
Sulaiman berkata demikian selepas menyakasikan kemenangan besar Malaysia menewaskan Vietnam dengan keputusan 4-0 pada Selasa.
Bagi Sulaiman, beliau mengesan tiga perkara penting seperti dari sudut teknikal, fizikal dan kemampuan individu pemain-pemain ‘Malaysia Abroad’ ini berada di tahap yang berbeza.
“Teknikal, fizikal banyak perbezaan. Keupayaan individu sangat hebat. Satu cabaran untuk pemain tempatan,” jelas Sulaiman seperti yang dikongsikan di laman Facebook beliau.
Untuk rekod, seramai lima pemain baharu Malaysia Abroad telah diturunkan dalam aksi bertemu Vietnam pada Selasa dengan empat daripadanya diletakkan di dalam kesebelasan utama.
Empat pemain yang diletakkan di dalam kesebelasan utama ialah Facundo Garces (pertahanan), Jon Irazabal (pertahanan), Joao Figueiredo (penyerang) dan Rodrigo Holgado (penyerang).
Manakala Imanol Mahuca yang beraksi di posisi sayap telah dimasukkan pada babak kedua perlawanan. Kesemua pemain ini menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam menghadiahkan kemenangan berharga buat Malaysia.
Selain Figueiredo dan Holgado yang meledak jaringan, Garces dan Irazabal tidak kurang hebatnya di bahagian pertahanan apabila tenang meresap asakan pemain Vietnam dalam tempoh 90 minit perlawanan.