Svay Rieng Bawa Rekod Tanpa Kalah Ke Terengganu
MakanBola
PKR Svay Rieng

Lawan Terengganu di Shopee Cup, Svay Rieng membawa rekod cemerlang dalam saingan liga sebelum berdepan jaguh Pantai Timur itu.

Svay Rieng dari Kemboja dan Terengganu bakal bertemu dalam aksi pembuka tirai kumpulan A bagi kejohanan Shopee Cup 2024/2025 pada 21 Ogos di Gong Badak.

Terengganu kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan 15 mata setelah meraih empat kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan dalam 8 perlawanan.

Sementara, Svay Rieng kini memimpin carta Cambodian Premier League dengan enam mata maksimum apabila mencatatkan 2 kemenangan besar dalam 2 perlawanan awal.

Berdasarkan prestasi semasa, kelab Kemboja ini dilihat berada di momentum terbaik selepas membelasah National Defence 7-0 dan Dangkor FC 4-1 pada Jumaat lalu.

Rekod 11 jaringan dan satu bolos ini perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh anak-anak buah Tomislav Steinbruckner khususnya di benteng pertahanan menjelang aksi sepak mula tepat jam 9 malam.

Pengendali Svay Rieng, Jose Munoz ketika sidang media pra perlawanan turut mengakui bahawa pasukan kendalian kini membawa rentak positif dek kecemerlangan aksi di liga domestik.

”Kami memulakan saingan liga Kemboja dengan baik dan kami mengharungi beberapa aksi kompetitif sebelum ini. Jadi, kami berada di tahap terbaik bagi menghadapi aksi ini.”

Selain aksi Terengganu-Svay Rieng, dua lagi perlawanan di dalam kumpulan A turut berlangsung melibatkan Dong A Thanh Hoa-Shan United dan PSM Makassar-BG Pathum.