Syahir Rosdi Lakar Rekod MBOR
UltraSukan
Yamaha Motor Malaysia

Tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi kembali menjadi sebutan peminat sukan tersebut.

Syahir melakar rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan mencatat ketinggian sepakan tekong 2.28 meter (m). MBOR mengiktiraf rekod beliau sebagai “Highest Tekong Kick By Individual”.

Catatan itu dilakukan pada 9 Ogos lalu di Karnival GenBlu Yamaha di Setia City Convention Centre yang menghimpunkan pengguna dan peminat motosikal Yamaha dari seluruh negara.

Syahir, yang turut diperkenalkan sebagai anggota baharu keluarga Yamaha, mencuri perhatian pengunjung menerusi aksi tekongan yang menjadi antara kemuncak program tersebut.

Walaupun aksi tekongan tinggi sering dipamerkan oleh beliau dalam gelanggang, persoalan mengenai sejauh mana ketinggian sebenar tekongannya akhirnya terjawab. Hal ini dicapai menerusi percubaan yang dilakukan semalam berjaya mencapai 2.28 meter.

Lebih menarik, karnival berkenaan turut menyaksikan penganjuran aktiviti “Sahut Cabaran Tekong Challenge”. Aktiviti ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri aksi tekongan.

Aktiviti tersebut mendapat sambutan luar biasa peminat yang mengambil bahagian dan mencuba untuk meniru aksi tekongan yang sinonim dengan Syahir.

Program berkenaan turut menerima pengiktirafan MBOR menerusi kategori “Most Tekong Kicks In an Event”, sekaligus melengkapkan kemeriahan Karnival GenBlu Yamaha.

Rekod MBOR ini dilihat satu lagi pengiktirafan buat Syahir selaku tekong terbaik dunia. Pengiktirafan beliau selaku tekong terbaik dunia diumumkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada Januari lalu.