Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang trofi Piala Malaysia buat kali keenam disambut penuh rasa syukur oleh Pemilik Kelab, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor sebaim tamat aksi final bertemu Kuching City di TM Stadium Nasional.
Dalam perlawanan tersebut, JDT tampil dengan aksi cukup dominan apabila berjaya memperoleh jaringan menerusi penyudah Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi untuk memastikan trofi berprestij itu kembali menjadi milik Harimau Selatan.
Sebaik tamat perlawanan, Pemilik Kelab JDT, DYAM Tunku Ismail memuat naik satu kenyataan di laman sosial yang mencuri perhatian ramai penyokong bola sepak tempatan.
Menerusi kenyataan tersebut, Tunku Ismail menyifatkan final kali ini berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan tanpa elemen politik mahupun kebencian.
“Allah Maha Besar. Allah yang menentukan segala rezeki.
“Final berkualiti tinggi, tiada politik, tiada kebencian, hanya semangat dan cinta terhadap bola sepak.
“Tahniah JDT dan terima kasih Kuching City. Alhamdulillah,” tulis baginda.
Terdahulu, JDT berjaya mengawal sebahagian besar permainan menerusi corak serangan pantas selain disiplin tinggi di setiap posisi.
Kuching City bagaimanapun tetap memberikan tentangan sengit dan beberapa kali cuba mengancam kubu pertahanan JDT dalam usaha memburu jaringan.
Suasana final turut berlangsung cukup meriah dengan kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan yang membanjiri TM Stadium Nasional sejak awal hari perlawanan.
Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan dominasi JDT dalam bola sepak tempatan selepas terus menambah koleksi trofi domestik musim ini.