Semua maklum ketika ini, Faisal Halim masih belum menemui sentuhan penyudah baik bersama Selangor mahupun Harimau Malaya. Walaupun gusar dengan situasi tersebut, Faisal berjanji akan tetap bekerja keras bagi memastikan Malaysia menang ke atas Hong Kong dalam aksi persahabatan seterusnya pada 28 Mac ini.
Kali terakhir bekas penyerang Terengganu itu menjaringkan gol ialah gol tunggal menentang Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF 2022 pada pertengahan Januari lepas. Dan dalam perlawanan menentang Turkmenistan, usaha Faisal mengakhiri kemarau gol dinafikan dua kali oleh penjaga gol lawan, Rasul Charryev.
Di sebalik kemarau gol yang dialaminya, Faisal tidak melihat itu sebagai satu isu. Ini kerana selagi mana semua pemain bekerja keras untuk meraih kemenangan, maka itu sudah cukup baginya tanpa mengira siapa menjaringkan gol.
“Ya, sudah tentu. Walaupun saya tak menjaringkan gol tapi saya membuat kerja yang keras bagi membantu pasukan. Permainan saya tetap sama, tiada perubahan.
“Saya tetap akan bekerja keras untuk membuat serangan. Ya, siapa menjaringkan gol tak kisah asal pasukan kita menang. Ya, ada rezeki jika saya ‘score’ gol dengan Hong Kong, ia satu kurniaan daripada Allah dan saya patut bersyukur,” katanya.
Malaysia akan turun menentang Hong Kong pada aksi persahabatan kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 Mac ini. Sekiranya Harimau Malaya berjaya menundukkan The Strength, maka Malaysia berpeluang melonjak ke ranking ke-139 FIFA sekaligus memintas negara Surinam.