Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan setiap cabaran yang datang menduga dalam hidup merupakan peluang buat dirinya untuk bangkit dan menjadi lebih baik.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas cabaran yang dikatakan menerusi ciapannya di X, ramai pengguna media sosial percaya beliau merujuk kepada penggantungan yang sedang dijalaninya.
Faisal dikenakan penggantungan empat bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 26 Julai lalu. Beliau dikenakan tindakan tersebut susulan kenyataan media yang dibuat selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April lalu.
Hukuman penggantungan sebulan berkuatkuasa serta-merta bermula dari 25 Julai hingga 28 Ogos.
Sementara baki penggantungan tiga bulan pula diberi penangguhan dengan syarat Faisal berkelakuan baik dalam tempoh 12 bulan bermula dari 24 Ogos 2023 sehingga 24 Ogos 2024.
“Setiap cabaran, membuka peluang untuk bangun dan berdiri dengan lebih teguh. Takkan pernah menyerah. Kini masa untuk kembali dengan satu misi, pertahankan kebanggaan ini. MKLK (Merah Kuning Lambang Kebanggaan),” katanya.
Faisal merupakan tonggak utama Selangor FC musim ini dan sudah merekodkan lapan gol serta tujuh bantuan gol.
Faisal berharap dapat kembali beraksi bersama The Red Giants pada September ini. Sekiranya Selangor FC berjaya melepasi PDRM FC pada pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2023, maka kelibatnya akan dapat dilihat pada 15 September ini.