Tiada sebab untuk sakit hati, tetapi Gabriel Batistuta tumpang bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Lionel Messi bersama Argentina.
Bukan sahaja memacu Argentina mara ke final Piala Dunia buat kali kedua – sesuatu yang Batistuta sendiri tidak pernah lakukan – tetapi baru-baru ini Messi berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak negara itu di Piala Dunia setelah menjaringkan gol ketika menentang Croatia.
Gol penalti jaringan Messi adalah jaringan ke-11 nya di Piala Dunia, mengatasi rekod 10 gol yang dipegang Batistuta sebelum ini dan dia masih ada peluang menambah jumlah jaringannya itu dalam aksi final menentang Perancis pada Ahad.
“Tidak ada sebab untuk membuatkan saya sakit hati melihat apa yang Messi lakukan, kerana saya sudah menikmatinya ketika memegang rekod berkenaan.
“Dia berhak memegang rekod itu, jika ada individu yang sepatutnya berada di situ, orangnya ialah Messi.
“Messi bukannya makhluk asing, dia adalah manusia biasa yang bermain bola sepak lebih baik berbanding orang lain. Apabila orang itu buat sesuatu yang baik melebihi anda, anda tidak boleh geram atau sakit hati, anda perlu rasa gembira,” ujar Batistuta.
Sebagai rekod, Batistuta menjaringkan 10 gol dalam tiga edisi Piala Dunia bermula USA 1994 (4 gol); France 1998 (5 gol); dan Seoul/Korea 2002 (1 gol) manakala Messi pula meledak di Jerman 2006 (1 gol); Brazil 2014 (4 gol); Russia 2018 (1 gol) dan telah mengumpul 5 gol di Qatar.
Bekas pemain terbaik dunia itu ketika ini sedang bersaing dengan Kylian Mbappe, Julian Alvarez dan Olivier Giroud untuk memenangi Anugerah Kasut Emas.