Tan Cheng Hoe: Selangor Akan Beri JDT Tentangan Sengit

Tan Cheng Hoe Selangor FC 1 Tan Cheng Hoe: Selangor Akan Beri JDT Tentangan Sengit
Selangor FC
Azim Noor @mohdazim45
10:05pm 14/03/2023

Pertembungan Liga Super membabitkan dua pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menggamit ramai penyokong. Bagi jurulatih Merah Kuning, Tan Cheng Hoe, anak-anak buahnya diharap bakal memberi tentangan sengit terhadap Harimau Selatan.

Ketika ini, JDT selesa di persada liga dengan 12 mata dan empat kemenangan. Malah, Harimau Selatan juga turut mengecapi dua kemenangan besar dalam dua perlawanan terakhir iaitu 7-0 ke atas Negeri Sembilan dan 5-1 ke atas Kelantan.

Cheng Hoe mengakui dengan semua ini, JDT merupakan lawan yang sukar ditentang. Tetapi beliau berharap dengan kelebihan di gelanggang sendiri termasuk sokongan padu penyokong, ia dapat membantu Selangor mengatasi cabaran anak-anak buah Esteban Solari.

“Saya rasa setiap lawan yang jumpa JDT, semua pasukan akan cukup bermotivasi yang terbaik, termasuk pemain saya. Itulah kita kena fokus perlawanan dengan JDT nanti, dan kita ada beberapa hari untuk latihan.

“Kita perlu di mana, kerja-kerja rumah dari segi untuk pulihkan tenaga kita kerana bermain di sebelah petang, cuacanya yang agak panas.

“Memang meletihkan kita juga, dan sudah tentu saya yakin dengan kualiti pemain yang ada, kita mampu memberi saingan yang cukup baik dengan JDT,” kata bekas pengendali Kedah itu.

Kedua-dua pasukan tampil dalam perlawanan Jumaat ini dengan masing-masing masih belum kalah. Selain JDT dan Selangor, Sabah dan Sri Pahang juga masih belum kalah setakat ini dalam liga.