Tan Cheng Hoe Selidik Keampuhan Rangkaian Serangan JDT

Tan Cheng Hoe Selangor FC Tan Cheng Hoe Selidik Keampuhan Rangkaian Serangan JDT
Selangor FC
Azim Noor @mohdazim45
8:25am 17/03/2023

Menjelang perlawanan Liga Super Selangor-Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini, Tan Cheng Hoe bakal berdepan cabaran sukar terutama bahagian serangan Harimau Selatan. Malah, beliau tidak teragak-agak menggelar jentera serangan pelawat sebagai antara yang terbaik ketika ini.

JDT merekodkan 17 gol daripada empat perlawanan dengan majoriti gol disumbang barisan penyerang mereka. Antara yang menyumbang ialah Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri, Endrick dos Santos, Bergson da Silva dan Diogo Luis Santo.

“Sudah tentu, skuad JDT untuk musim 2023, mereka nampak cukup kuat, cukup mantap di semua bahagian. Dari segi pengalaman mereka beraksi di Liga Malaysia, mereka mempunyai pemain-pemain yang baik dengan ramai pemain beraksi di ACL dan rata-ratanya merupakan pemain-pemain kebangsaan berstatus tonggak utama.

“Dan seperti yang kita lihat di bahagian pertahanan, Jordi Amat cukup kental ketuai pertahanan. Dan mereka juga cukup kreatif dalam menjaringkan gol dan kreativiti untuk memberi hantaran kepada pasukan atau pemain JDT.

“Saya nampak Diogo (Luis Santo), Endrik (dos Santos), Arif Aiman (Hanapi), rangkaian serangan mereka cukup serasi. Dari segi jaringan juga besar dalam empat perlawanan, mereka jaringkan 17 gol. Itu bermakna mereka mempunyai rangkaian serangan yang terkuat pada ketika ini,” katanya bila ditemubual Syen Yeoh untuk Astro Arena.

Justeru bagi Cheng Hoe, beliau mahu anak-anak buahnya fokus dan memberi komitmen 100% di atas padang malam ini. Ini kerana jika mereka tidak fokus, Selangor bakal dihukum pelawat yang ghairah memburu kemenangan kelima musim ini.

“Ya sebagai jurulatih, saya mahu pemain-pemain saya menunjukkan prestasi yang terbaik. Kerana kita tahu jikalau kita tidak beri 100% komitmen dalam perlawanan malam besok, bukan mudah untuk kita dapatkan keputusan yang terbaik.

“Kalau kita lihat dari segi kekuatan JDT, cukup baik daripada penjaga gol, pertahanan, midfield dan juga serangan. Mereka mempunyai skuad yang seimbang di semua bahagian,” tambahnya.

Selangor dan JDT tampil malam ini dengan rekod tanpa kalah mereka dalam Liga Super masih terpelihara. Walau apapun keputusan malam ini, ia bakal menjanjikan perlawanan menghiburkan buat penyokong kedua-dua pasukan.