Pengendali Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui kecewa apabila gol kemenangan pasukan itu dibatalkan ketika aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang KL City FC.
Aksi suku akhir pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memburu kelebihan gol sebelum aksi timbal balik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Selepas Peteh mendahului menerusi Gervane Kastaneer, KL City meraih gol penyamaan pada babak kedua menerusi Nicolao Dumitru Cardoso.
Penyokong Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) menyangka pasukan itu meraih gol kemenangan menerusi Baqiuddin Shamsudin.
Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan pengadil, Zamzaidi Katimin. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dibuat Kyaw Min Oo terhadap Zhafri Yahya sebelum bola dirampas Baqiuddin.
Tengku Hazman mengakui kecewa dengan apa yang berlaku kerana ini kali kedua hal sama menimpa Terengganu.
Ini selepas gol Akhyar Rashid dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC pada 1 Februari lalu juga dibatalkan pengadil. Meskipun begitu, beliau enggan mengulas keputusan tersebut.
“Sudah tentu. Kalau kira, ini untuk kali kedualah (gol Terengganu dibatalkan). Sebelum ini kita bermain lawan Selangor. Jadi, benda ni terjadi lagi.
“Apa-apa pun, saya serahkan keputusan kepada pengadil. Itu saja,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir pada 15 Februari ini.