Tentera Negara Haram Culik Dua Pemain Wanita Palestin
MakanBola
WAFF

Persiapan skuad bola sepak wanita Palestin untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Malaysia terjejas apabila dua pemain pasukan itu diculik tentera Israel.

Middle East Eye melaporkan Natalie Abu Diya, 20, dan Rand Halawani, 20, antara lima wanita yang ditahan rejim Israel di Tebing Barat.

Tiada sebarang alasan yang dikemukakan di sebalik penahanan itu. Abdullah Zaghari, ketua Kelab Banduan Palestin percaya ini sebahagian daripada usaha berterusan rejim untuk memusnahkan harapan rakyat Palestin meraih kemerdekaan dan membentuk negara sendiri.

“Tangkapan ini adalah sebahagian daripada tindakan balas dendam berterusan terhadap rakyat Palestin oleh penjajah,” katanya.

Insiden penahanan Natalie dan Rand mencetuskan kemarahan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA). Justeru, PFA menggesa tindakan tegas diambil terhadap rejim yang berterusan mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk hak asasi manusia.

“Penangkapan mereka bukanlah insiden terpencil, ia adalah sebahagian daripada corak penyasaran sistematik terhadap atlet Palestin yang telah didokumentasikan dengan baik, yang berterusan tanpa akauntabiliti.

“PFA menyeru FIFA, badan bola sepak benua dan komuniti sukan antarabangsa yang lebih luas untuk melangkaui langkah membuat kenyataan dan mengambil tindakan disiplin yang tegas dalam rangka kerja bola sepak untuk menangani pelanggaran berterusan ini.

“Penyasaran atlet Palestin mesti dihentikan. Kebebasan daripada hukuman mesti dihentikan. Ketidakadilan ini mesti dihentikan,” kata PFA dalam satu kenyataan.

Palestin dijadual bertemu Malaysia dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu. Ini aksi pemanas badan kedua yang akan dilalui anak buah Joel Cornelli selepas menentang Jordan.