Terengganu FC (TFC) yang dibimbing Tomislav Steinbruckner dijangka mempunyai pemain berstatus naturalisasi dalam skuad mereka. Ini selepas pengurusan TFC sudah membuat permohonan tentang status Argzim Redzovic kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ini didedahkan oleh CEO TFC, Ab Rasid Jusoh semasa ditemui media hari ini. Redzovic merupakan kapten skuad Terengganu FC II (TFC II) dan pernah beraksi bersama PDRM, Kapfenberger SV (Austria), Lanexang United (Laos) dan Petrovac (Montenegro).
“Perkara ini (proses naturalisasi) telah kita bawa ke Jabatan Imigresen dan saya yakin ia dalam proses kerana pasti mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.
“Daripada segi kelayakan dia (Redzovic) sudah cukup tempoh selama lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menjadi pemain naturalisasi bermula dengan menyarung jersi pasukan PDRM pada 2018 dan 2019 sebelum berhijrah bersama pasukan TFC II sehingga musim lalu.
“Lagipun dia berkahwin dengan gadis tempatan, jadi di situlah ada kekuatan kepada kita untuk berusaha bagi memastikan pemain itu mendapat status naturalisasi sekali gus boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan,” katanya.
Sekiranya proses permohonan berjalan lancar, pemain pertahanan berusia 30 tahun itu bakal menjadi pemain naturalisasi Terengganu yang pertama. Ini membantunya bukan saja beraksi dalam saingan Liga Super tetapi juga Piala AFC.