Terengganu FC Turun Padang, Lancar Bantuan Mangsa Banjir

TFC Terengganu FC Turun Padang, Lancar Bantuan Mangsa Banjir
TFC
Aqil Ikhwan @aqil_ikh
11:22pm 18/03/2022

Walaupun Liga Malaysia musim ini masing-masing sedang mempersiapkan diri dalam menjalani latihan, kelab Bolasepak Terengganu FC mengambil langkah proaktif membuat program CSR bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas di beberapa lokasi sekitar Hulu Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid Jusoh menyatakan rasa bersyukur apabila program tersebut turut mendapat kerjasama daripada sesetengah pihak sekaligus dapat mengurangkan lagi beban yang dialami mangsa banjir.

Ab Rasid turut menyatakan bantuan yang berjumlah RM20,000 berbentuk barangan dalam misi pasca banjir ini disalurkan kepada 200 penduduk beberapa kampung termasuk kampung Cheting dan kampung Pelandang, Kuala Berang.

“Kami bersyukur kerana program pasca banjir ini yang turut mendapat kerjasama daripada penaja, Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Penghulu Mukim berkenaan berjalan lancar,” jelasnya.

“Hamper makanan bernilai RM20,000 ini disumbangkan oleh penaja-penaja TFC Sdn Bhd musim ini. Ia diharap dapat memberi sedikit kelegaan dan keceriaan kepada mangsa banjir,” katanya.

“Dengan bantuan sedemikian, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penderitaan dan beban yang dialami mangsa banjir yang ada antara mereka kehilangan harta benda selain rumah mereka ditenggelami air banjir lebih empat meter.”

“Tetapi misi hari ini turut disertai jurulatih dan 20 pemain dari pasukan TFC dan TFC II yang ingin sama menyumbang bakti kepada mangsa banjir,” ujarnya di laman Instagram TFC.

Sebagai rekod, sebelum ini TFC pernah menyalurkan bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan berjumlah lebih RM25,000 di daerah berkenaan membabitkan 25 kampung yang terjejas teruk akibat banjir.