Jurulatih interim Terengganu FC, Tengku Hazman Raja Hassan mengakui pasukan itu berdepan masalah berulang ketika menentang Imigresen FC.
Aksi terbaru Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu menyaksikan Peteh terlepas peluang meraih tiga mata penuh.
Meskipun mendahului menerusi Careca seawal minit keenam, pelawat bangkit menyumbat dua gol menerusi gol sendiri Diego Landis dan penalti Wilmar Jordan.
Gol Eduardo Sosa pada separuh masa kedua memastikan anak buah Yusri Che Lah ceria membawa pulang tiga mata penuh.
Tengku Hazman mengakui masalah berulang yang menimpa Terengganu seakan belum menemui jalan penyelesaian. Ini kerana Peteh dilihat gagal menterjemah kelebihan awal mereka kepada mata.
Selain itu, pasukan itu juga melakukan kesilapan di bahagian pertahanan termasuk memberi penalti kepada pihak lawan. Trend ini sudah memasuki tiga perlawanan berturut-turut termasuk ketika menentang Imigresen.
“Pertama, benda ini berlarutan. Bila kita jaringkan gol, kita nampak macam kekurangan fokus. Dan saya nampak macam bila kita jaringkan gol, seolah-olah kita nak banyak hilang bola.
“Dan bila kita hilang bola, kita akan hadapi tindakan berganda. Itu sebab saya sudah nampak Saiful dengan Ubai (Ubaidullah) tak nampak macam kombinasi (serasi) dan tak teratur.
“Dan benda ini saya sudah jangka sebab ketiadaan pemain yang dapat mengawal (bola) terutama di bahagian tengah,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Tengku Hazman turut menyifatkan penalti yang diberi kepada Imigresen sebagai titik perubahan dalam perlawanan itu.
“Dan lepas itu perlawanan ketiga, kita bagi gol dengan penalti (penalti Jordan). Jadi, saya rasa goal kedua itu adalah titik perubahan utama untuk kita boleh nampak sudah tewas,” ujarnya.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu hanya memiliki kelebihan dua mata di hadapan Imigresen. The MIghty Tigers mengumpul 31 mata dengan Peteh (33 mata).
Terengganu perlu menang ke atas Sabah FC dalam aksi terakhir liga pada 15 Mei ini jika mahu mencapai sasaran kelompok lima pasukan terbaik liga.
Imigresen pula berpeluang memintas Peteh dengan syarat mereka menewaskan Melaka FC pada 16 Mei.