Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan bahawa Terengganu FC akan terus kekal bersaing dalam saingan Liga Super Malaysia bagi musim 2026/2027.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media rasmi oleh Setiausaha Agung PBSNT, Ahmad Shahrizal Bin Yahaya selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif diadakan pada Khamis lalu bagi meneliti dapatan bengkel serta hala tuju pasukan untuk musim hadapan dan perancangan jangka panjang kelab.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan Sang Penyu menarik diri daripada Liga Super dan beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim depan susulan kekangan kewangan yang dihadapi kelab sejak kebelakangan ini.
Sebelum ini, beberapa laporan media menyatakan pihak pengurusan Terengganu sedang mengkaji semua pilihan termasuk cadangan menyertai Liga A1 Semi-Pro sebagai langkah penstrukturan semula pasukan.
Menurut PBSNT, bengkel tersebut merupakan kesinambungan daripada beberapa sesi libat urus yang telah dijalankan bersama beberapa pihak pemegang taruh utama melibatkan pengurusan Terengganu FC.
Dalam masa sama, PBSNT turut berpandangan bahawa satu proses penstrukturan serta pendekatan baharu perlu dilaksanakan melibatkan aspek pengurusan, kewangan, teknikal dan operasi pasukan.
Langkah itu dianggap penting bagi membina sebuah pasukan yang lebih stabil, mampan dan kompetitif untuk jangka masa panjang.
Selain itu, PBSNT turut memaklumkan bahawa beberapa beban tanggungan serta kumulatif keberhutangan kelab dari musim-musim terdahulu akan diberi keutamaan untuk disusun semula secara lebih berstruktur.
Perbelanjaan bagi musim semasa juga akan dikawal dengan lebih baik demi memastikan kemampanan kelab dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.
PBSNT dalam kenyataan sama memahami harapan tinggi para penyokong terhadap pasukan kesayangan negeri itu dan menegaskan bahawa segala perancangan yang sedang diperhalusi akan memberi fokus kepada pengukuhan tadbir urus, kestabilan organisasi serta pembangunan bakat tempatan.
Malah, pembentukan semula kekuatan pasukan juga akan dilakukan secara lebih berhemah dan terancang bagi memastikan Terengganu FC mampu kembali bangkit dengan lebih kukuh pada musim-musim akan datang.
Untuk rekod, Terengganu menamatkan saingan Liga Super 2025/2026 di tangga kelima selepas mengutip 36 mata daripada 24 perlawanan hasil 10 kemenangan, enam keputusan seri dan lapan kekalahan.