Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat menghargai sokongan penyokong pasukan itu sepanjang tempoh lima tahun.
Hal ini dinyatakan beliau dalam satu hantaran video yang disiarkan di semua platform rasmi Sang Badak.
Khairul Fahmi memohon maaf kerana tidak dapat menutup aksi terakhirnya dengan rekod tanpa bolos.
Pada masa sama, penjaga gol yang mesra disapa Apek itu tetap menghargai penyokong yang hadir ke Stadium Likas untuk menyokong Sabah.
“Maaf semua, Apek tak dapat untuk rekod tanpa bolos. Apek dah cuba yang terbaik untuk bantuan rakan-rakan sepasukan.
“Begitulah bola sepak, menang atau kalah. Jadi, terima kasih untuk penyokong yang datang malam ini. Terima kasih (yang menyokong) untuk Sabah FC dan juga untuk Apek,” katanya.
Khairul Fahmi juga belum mendedahkan sebarang rancangan untuk musim hadapan. Pada masa sama, beliau tetap berjanji akan kembali ke Sabah.
“Insya Allah, Apek akan datang kembali. Mungkin bersama pasukan yang baru. Mungkin datang bercuti. Tak tahu, jadi kita tengok musim depan,” tambahnya.
Khairul Fahmi beraksi untuk Sabah dalam aksi menentang Terengganu FC di Stadium Likas. Aksi itu berkesudahan dengan kekalahan 1-0 buat tuan rumah.