Advertisement
Terjahan Keras Aiman Afif Buatkan Aksinya Hanya Bertahan Dua Minit
Piala FA
MakanBola
Kedah Darul Aman FC/Astro Arena

Tindakan pemain tengah Kedah Darul Aman, Aiman Afif melakukan terjahan keras ke atas lawan memakan diri setelah diperintah keluar padang ketika berdepan Bukit Tambun pada Jumaat.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman tersebut, Kedah berjaya kembali ke landasan kemenangan setelah menewaskan wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC hasil ledakan hatrik pemain import dari Ghana, Ebenezer Assifuah.

Walau bagaimanapun, kemenangan Sang Kenari ini dicemari dengan insiden kad merah yang diberikan oleh pengadil perlawanan, Khairulsyahmi Ahmad Khalidi kepada pemain tengah Kedah, Aiman Afif pada pertengahan babak kedua.

Aiman Afif yang merupakan tonggak skuad bawah 23 tahun kebangsaan dibawa masuk oleh ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain pada minit ke-71 bagi menggantikan tempat Amirul Hisyam di bahagian tengah.

Ketika pasukan lawan sedang mengatur serangan, Aiman Afif yang cuba merampas bola telah membentes kaki pemain Bukit Tambun, Marcus Mah dan dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada mulanya.

Hasil pemeriksaan Video Assistant Referee (VAR) selepas itu mendapati terjahan tersebut dinilai amat keras oleh para pengadil bertugas kerana mengenai bahagian tumit Marcus Mah.

Ini sekaligus menyebabkan pengadil membatalkan kad kuning yang diberikan sebelum itu dan tanpa teragak-agak melayangkan kad merah pada minit ke-73 menyaksikan aksi Aiman Afif di atas padang hanya bertahan sekitar dua minit sahaja.

Kad merah itu bagaimanapun tidak menghalang Kedah untuk melakar kemenangan besar 5-0 dengan Amirul Hisyam dan juga penyerang import, Milos Gordic turut mencetak nama sebagai penjaring selain Ebenezer Assifuah.

Pertembungan derbi utara bakal berlaku apabila Kedah dan Penang akan berentap di peringkat suku akhir Piala FA nanti setelah skuad Harimau Kumbang turut mencatatkan kemenangan ke atas Sri Pahang menerusi sepakan penalti di Temerloh.