Pemain Thailand Ditawarkan Bonus RM638k Jika Layak Separuh Akhir Piala AFF
Piala AFF
FA Thailand
Advertisements

Selepas membelasah Brunei 5-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan B Piala AFF semalam, Thailand bernafsu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2020. Dan hari ini, sebagai motivasi tambahan kepada anak-anak buah Mano Polking, mereka dijanjikan bonus lima juta baht (RM638,000) jika berjaya sampai ke peringkat separuh akhir.

Bonus ini diumumkan oleh pengurus pasukan Gajah Perang, Nualphan Lamsam atau Madame Pang. Ia bukan sekadar suntikan motivasi tambahan kepada para pemain dalam mendepani perlawanan-perlawanan seterusnya. Malah, ia juga merupakan komitmen Madame Pang dalam menyokong pasukan Gajah Perang meraih lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

Ini bukan kali pertama Madame Pang menjanjikan hadiah wang kepada pemain-pemain pasukan kebangsaan. Pada tahun lepas, beliau memberi bonus berjumlah 20 juta baht (RM2.55 juta) kepada skuad Gajah Perang sebagai ganjaran memenangi Piala AFF 2020. Dengan hadiah tersebut, setiap pemain menerima sejuta baht (RM127,000).

Advertisements

Selain skuad senior Gajah Perang, skuad bawah 23 tahun Thailand turut mendapat bonus berjumlah lima juta baht (RM638,000) selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2021 di Vietnam. Ia diumumkan oleh Madame Pang sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan B acara bola sepak menentang musuh tradisi Malaysia.

Madame Pang bukan calang-calang individu di Thailand. Datang dari keluarga jutawan Lamsam yang mempunyai perusahaan dalam sektor perbankan dan insurans, beliau juga merupakan pemilik kelab Port FC. Madame Pang dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand pada Ogos 2021 susulan kegagalan skuad Gajah Perang dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram