Advertisements
Thailand Hilang Tiga Tonggak Untuk Piala AFF 2022
Dunia
MakanBola
Thailand/Nguoi dua tin

Thailand akan berdepan masalah mempertahankan kejuaraan Piala AFF yang dimenangi pada edisi sebelumnya.

Ini selepas mereka tidak dapat memanggil tiga tonggak utama pasukan iaitu Chanathip Songkrasin, Supachok Sarachat dan Chaowat Veerachat.

Ketiga-tiga pemain ini beraksi di Liga J. Songkrasin merupakan pemain Kawasaki Frontale dengan Sarachat dan Veerachat pula mewakili Consadole Sapporo dan Cerezo Osaka.

Bagi jurulatih Gajah Perang, Alexander Polking, hal ini amat merungsingkan beliau.

Bila ditanya oleh media, beliau berkata, “Khabar angin (ketiadaan) mereka itu mungkin benar. Namun, itu masih belum lagi disahkan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan kelab-kelab tetapi mereka mengatakan Piala AFF bukan sebahagian daripada kalendar FIFA. Buat masa ini, mustahil untuk memanggil mereka.”

Kehilangan Songkrasin, Sarachat dan Veerachat pasti memberi kesan kepada Thailand.

Dalam edisi Piala AFF 2020, Songkrasin dan Sarachat masing-masing menjaringkan empat dan tiga gol bagi membantu Thailand bergelar juara. Sementara Veerachat pula merupakan tonggak di bahagian tengah.

Thailand bukan satu-satunya pasukan yang tidak dapat memanggil tonggak untuk Piala AFF 2022.

Vietnam turut berdepan nasib sama selepas Nguyen Quang Hai tidak dilepaskan kelabnya menyertai mereka atas sebab sama.