Hasrat ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong untuk beraksi di Sukan Olimpik buat kali keempat tidak tercapai.
Ini selepas beliau dan Nur Dhabitah Sabri gagal layak menerusi acara 10 meter (m) terjun platform seirama dalam Kejohanan Akuatik Sedunia 2024 di Doha, Qatar.
Pandelela dan Dhabitah menamatkan acara di tempat ke-12 daripada 16 peserta dengan markah 240.06 mata keseluruhan.
Acara ini diungguli duo penerjun China, Chen Yuxi-Quan Hingchan dengan 362.22 mata. Mereka disusuli oleh duo penerjun Korea Utara, Kim Mi Rae-Jo Jin Min (320.70 mata) dan duo penerjun Great Britain, Lois Toulson dan Andrea Spendolini-Sirieix (299.34 mata).
Pandelela dan Dhabitah perlu menamatkan acara di empat kedudukan teratas jika mahu layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Pandelela juga gagal layak ke Sukan Olimpik dalam acara individu selepas sekadar berada di tempat ke-29 untuk acara terjun 10 m platform. Beliau hanya mengutip 231.15 mata.
Dhabitah masih berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 menerusi dua acara iaitu 3 m individu papan anjal dan seirama. Kedua-dua acara ini bakal diadakan pada hari ini.