Tiket aksi suku akhir kedua antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong.
Ini berdasarkan kemas kini jualan tiket perlawanan yang diumumkan Selangor di platform rasmi mereka pada Jumaat.
Menurut Selangor FC, tiket telah habis dijual sepenuhnya pada Jumaat dan kelab mengucapkan terima kasih atas sokongan bagi aksi ini.
“Tiket Selangor vs Negeri Sembilan telah habis dijual. Terima kasih kepada semua penyokong yang telah mendapatkan tiket untuk perlawanan Suku Akhir timbal balik #PialaMalaysia2025-26 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ. Jumpa anda esok!,” kata Selangor dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Pertembungan ini mendapat sambutan hangat selepas kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 5 kali dalam aksi Liga Malaysia musim ini dan ke semua perlawanan menunjukkan persembahan yang menakjubkan.
Perlawanan suku akhir kedua dijadualkan berlangsung pada Sabtu pukul 9.00 malam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.