Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali dengan gelaran TMJ baru-baru ini telah menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai tindakan baginda bersungguh-sungguh membina kelab gergasi selatan tanah air itu.
Penjelasan yang dibuat melalui instagram story itu jelas sekali memperlihatkan baginda telah memberikan segala-galanya demi melihat rakyat Johor gembira dengan pelbagai kejayaan yang diraih JDT.
“JDT adalah saya, saya adalah JDT dan kedua-duanya adalah milik rakyat Johor dan keluarga JDT di seluruh dunia. Mengapa bola sepak? Bola sepak adalah milik orang ramai. Ia boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat di mana sahaja anda pergi tanpa mengira bangsa, agama, etnik atau kedudukan sosial,” jelas baginda di instagram story.
Bagi baginda, sukan bola sepak adalah sukan yang mampu dikongsi kegembiraan bersama rakyat Johor. Walaupun turut meminati sukan polo namun begitu sukan tersebut kekal sebagai hobi baginda dan ianya tidak dapat dikongsikan oleh rakyat Johor.
“Terdapat rasa kekitaan dalam sukan ini (bola sepak) untuk semua, dan kerana itu ideologi keluarga JDT. inilah sebabnya adalah tidak masuk akal untuk membandingkan bola sepak dengan sukan lain terutamanya sukan individu. Polo adalah contoh di mana ia adalah hobi peribadi saya, tetapi ia bukan sesuatu yang boleh saya kongsikan kegembiraan bersama rakyat Johor,” jelas bagonda lagi.

Baginda TMJ juga menjelaskan bola sepak bukanlah tempat untuk membazirkan duit kerana sukan tersebut bukanlah hobi. Duit yang digunakan untuk bola sepak adalah demi kebanggan negeri Johor dan kegembiraan semua penyokong JDT.

Di akhir penjelasan, baginda turut memberi bayangan bahawa dirinya tidak berharap kepada mana-mana jenama kerana baginda TMJ sendiri adalah jenama.
Untuk rekod, JDT telah menjuarai Liga Super untuk kali kesepuluh berturut-turut sejak tahun 2014 lagi. Selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan domestik, JDT juga memberikan tentangan hebat kepada pasukan gergasi asia di Liga Juara-Juara AFC.