Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM TMJ tampil membuka mulut susulan keadaan padang teruk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
DYAM TMJ hari ini turun sendiri untuk melihat keadaan padang di Bukit Jalil selepas beberapa keping gambar tular berkenaan permukaan padang yang belum siap menjelang sepak mula esok.
Menerusi tinjauan MakanBola di padang Bukit Jalil, separuh padang masih lagi belum disiapkan dengan hujan menjadi penghalang utama ketika ini.
DYAM TMJ akhirnya tampil bersuara mengenai perkara ini dengan menyatakan kerisauan terhadap pemain yang berisiko cedera ketika beraksi.
“Main boleh main tetapi kualiti permainan akan rendah. Apa yang membimbangkan adalah pemain kebangsaan seperti Arif Aiman, Corbin, Matt Davies, Endrick, Shahrul Saad dan Afiq Fazail cedera.”
“Buku lalu, peha, lutut dan pangkal peha oleh kerana padang tidak rata. Bulan depan Piala Asia,” ujar DYAM TMJ di laman Malayfootballeague.
Perbadanan Stadium Malaysia juga sudah tampil memohon maaf berkenaan isu ini dengan menyatakan bahawa mereka kesuntukan masa untuk menyediakan padang dalam keadaan terbaik.
“Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 dan semua para peminat sukan bola sepak negara, terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim F.C, Terengganu FC serta semua penyokong kedua-dua pasukan atas keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan bagi berdepan dengan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung pada 8 Disember 2023.”
“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November 2023 yang lalu.”
“PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan,” kata PSM dalam satu kenyataan di Facebook.