Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail menjelaskan realiti di pasukan juara Liga Super itu yang telah mengecapi pelbagai kejuaraan.
Kenyataan dari Baginda ini merujuk kepada kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh JDT sepanjang musim 2024 di sepanjang peringkat umur dari skuad senior, akademi dan futsal.
Menurut Baginda, kepimpinan yang mantap bersama visi yang jelas dari pihak pengurusan pasukan akan memacu kejayaan anak-anak buah.
”Apabila kepala betul, ekor pun betul,” tulis DYAM Tunku Mahkota Ismail menerusi catatan Instastory.
Malah, Baginda turut mendedahkan penerapan mentaliti juara dalam kalangan pemain JDT tanpa mengira umur menjadi kunci kejayaan pasukan tanpa perlu banyak bicara.
”Dari muda hingga ke senior diterapkan mentaliti juara,”
”Bukan sekadar bercakap. Ini realiti JDT,” tambah Baginda.
JDT pada musim lalu menyapu bersih kesemua kejohanan di setiap peringkat dari senior sehingga pasukan bawah umur untuk mendominasi penuh kejuaraan bola sepak di Malaysia.
Selain itu, skuad futsal JDT turut meraih kejuaraan berganda apabila diangkat selaku juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan Malaysia Futsal Cup buat julung kalinya musim lalu.