Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor menyifatkan pembangunan pusat latihan baharu sebagai sumbangan terakhir Baginda buat kelab tersebut.
DYAM Tunku Ismail bertitah, pembangunan pusat latihan serba moden itu bakal menjadi antara fasiliti terbaik di dunia dan sesuatu yang mampu dibanggakan penyokong Johor.
“Stadium Sultan Ibrahim akan dinaik taraf dengan wajah baharu, Stadium Larkin juga akan dinaik taraf sepenuhnya.”
“Pusat latihan baharu ini adalah sumbangan terakhir saya buat JDT.”
“Ia akan menjadi antara yang terbaik di dunia dan anda boleh berbangga sebagai penyokong Johor,” titah Baginda menerusi ruangan komen di laman Instagram rasmi Johor Southern Tigers.
Terdahulu, DYAM Tunku Ismail berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan Baharu JDT yang dibangunkan di kawasan seluas 39 ekar berhadapan Stadium Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan media rasmi, pusat latihan itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa termasuk padang latihan moden, pusat sains sukan, fasiliti pemulihan dan rehabilitasi, gimnasium, pusat analisis prestasi serta penginapan pemain.
Selain itu, pusat latihan tersebut akan menempatkan semua pasukan JDT bermula daripada skuad akademi hingga pasukan senior selain memiliki stadium mini, auditorium dan pusat perubatan sendiri.
Projek pembangunan itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan dilihat sebagai satu lagi langkah besar JDT dalam memperkukuhkan status mereka sebagai kelab profesional bertaraf elit di Asia.