Tunku Ismail Tinjau Persiapan Harimau Malaya
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan untuk hadir melawat kem latihan Harimau Malaya di Padang Seri Gelam.

Skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski ketika ini sudah seminggu berada di Johor untuk melakukan persiapan menjelang 3 aksi penting yang akan ditempuh tidak lama lagi.

Pada Ahad, kem latihan sudah memasuki fasa kedua dengan kehadiran semula 8 orang pemain antaranya Endrick, Syihan Hazmi, Matt Davies, Corbin-Ong, Romel Morales dan Shahrul Saad.

Malah, hari ke-7 kem latihan kebangsaan ini juga dihadiri oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mencemar duli untuk turun ke Padang Seri Gelam serta bertemu dengan para pemain.

Baginda dilihat bersalaman dengan para pemain dan sempat berbincang bersama pasukan Harimau Malaya di tepi padang sambil ditemani oleh barisan pengurusan skuad diketuai oleh Rob Friend.

Turut kelihatan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia yang bersama menemani Tunku Ismail melawat kem latihan kebangsaan di fasiliti kelab juara Liga Super 11 kali itu.

Pasukan Harimau Malaya akan berdepan Cape Verde dalam dua aksi persahabatan di Cheras secara terbuka dan di Bukit Jalil secara tertutup sebagai persiapan sebelum menghadapi Vietnam.

Pertemuan menentang Vietnam itu amat penting dalam misi skuad kebangsaan untuk layak ke saingan Piala Asia di Arab Saudi nanti dengan juara kumpulan bagi pusingan kelayakan sahaja akan mara.