DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yakin Liga Super akan dapat bertahan meskipun tanpa kehadiran dua pasukan legenda, Perak FC dan Sri Pahang FC.
Saingan liga musim depan menyaksikan kedua-dua pasukan berstatus pemenang Unifi Piala Malaysia itu menarik diri atas sebab berbeza.
Perak terpaksa mengundur diri susulan kemelut kewangan yang dihadapi pasukan itu termasuk isu tunggakan gaji.
Pemilik Sri Pahang, YAM Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah pula sudah menyatakan hasrat untuk menarik diri pada final Unifi Piala Malaysia 2024/25 pada akhir April lalu.
Tunku Ismail melihat ketiadaan dua pasukan legenda itu tidak akan merencatkan kemeriahan saingan liga musim depan.
Ini kerana semua pasukan yang bersaing termasuk juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan tampil lebih baik untuk kempen musim 2025/26.
“Kalau kena main tujuh pasukan pun, main empat kali satu musim pun, liga akan diteruskan. JDT akan sentiasa ada, anda tak boleh musnahkan ia,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.
Tunku Ismail turut menyifatkan kemunculan pasukan dominan dalam sesebuah liga tidak bermakna pasukan-pasukan lain sudah berputus asa.
Sebaliknya, pasukan-pasukan ini berusaha memberi tentangan hebat setiap kali bertemu dengan pasukan tersebut. Baginda turut menjadikan Jerman, Itali, Perancis dan Thailand sebagai contoh.
“Bagi saya, (sentimen ini macam sudah) berputus asa. Kalau kita tengok di Jerman, Itali dan Perancis, walaupun ada pasukan yang dominan, pasukan lain tetap memberi saingan yang hebat.
“Sama juga macam di Thailand. Kalau kita tengok Buriram (United) lebih berjaya daripada pasukan-pasukan yang ada.
“Tapi mereka masih ada inisiatif-inisiatif tertentu untuk jadi lebih baik dan bersaing. Bukan mentaliti ‘Oh, kalau kita tak boleh, kita tarik diri.’ Jadi, mentaliti itu buat saya malu dengan negara-negara jiran yang melihat perkembangan bola sepak tanah air.”
Semua pasukan liga ketika ini menunggu pengumuman status Lesen Kebangsaan mereka daripada Malaysian Football League (MFL). Ini termasuk dua pasukan Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC.
Kesemua pasukan sudah menghantar permohonan lesen mereka pada tarikh akhir 10 Mei lalu.