Advertisement
Ubi Muda Penang Minta Restu Sebelum Ledak Gol Roket
Liga Super
MakanBola
Penang FC

Nama Izzat Zikri mungkin belum dikenali oleh penyokong-penyokong bola sepak tanah air. Namun ubi muda Penang FC telah berjaya membuka mata banyak pihak selepas meledak gol roket ketika perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC tempoh hari.

Dalam perlawanan tersebut, jaringan Izzat Zikri pada minit ke-70 berjaya menghadiahkan kemenangan pertama buat jurulatih interim, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dengan keputusan 3-2 memihak Penang.

Apa yang lebih menarik, sebelum jaringan tersebut dihasilkan, Izzat telah berinteraksi dengan bekas jurulatihnya dan memohon untuk dihalalkan segala ilmu, makan dan minum sepanjang berada di bawah kendalian jurulatih tersebut.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh bekas jurulatih Izzat, Noor Zaidi Rohmat yang pernah membimbing Izzat ketika pemain itu beraksi bersama Projek FAM-MSN.

“Assalamualaikum coach, saya nak minta restu untuk perlawanan debut saya dalam Liga Super petang ini (Ahad). Minta halal segala ilmu atau makan minum coach.

“Doakan saya dapat buat yang terbaik untuk Penang FC petang ini (Ahad). Minta maaf kalau ada salah silap coach,” kata Izzat yang berada di dalam kesebelasan utama dalam perlawanan tersebut.

Khidmat pemain berusia 21 tahun itu dijangka akan terus digunakan Akmal Rizal dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini selepas aksi cemerlang dipamerkan beliau.

Penang FC kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan mengumpul 23 mata selepas 24 perlawanan yang diharungi. Baki dua lagi aksi Penang selepas ini adalah menentang Terengganu FC di laman sendiri pada 3 Disember.

Manakala perlawanan terakhir Penang dijadualkan pada 16 Disember yang menyaksikan mereka bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menentang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Gol Roket Izzat Zikri DI SINI.