Penyerang Brazil, Joao Pedro mengakui amat sukar baginya mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC.
Sentimen itu dinyatakan penyerang berusia 24 tahun itu selepas bakal melengkapkan perpindahan pinjaman ke kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC.
Meskipu mengakui ini bukan satu keputusan yang mudah, Pedro menghargai sokongan penyokong sepanjang bersama Sang Badak.
“Hari ini merupakan satu detik pahit manis apabila saya mengucapkan selamat tinggal kepada kepada kelab dan penyokong yang hebat ini.
“Sejak dari hari pertama lagi, saya rasa dialu-alukan dan diterima oleh anda semua. Semangat, dedikasi dan sokongan berterusan memberi makna besar kepada saya akan menghargai memori yang kita cipta bersama,” katanya di Instagram Story.
Sepanjang bersama Sabah, Pedro merekodkan lapan gol dan satu bantuan gol dalam 15 penampilan semua kejohanan.
Bekas penyerang Viettel itu turut mengucapkan selamat berjaya kepada Sabah untuk mengharungi baki kempen Liga Malaysia (Liga M).
“Walaupun masa saya di sini sudah berakhir, Sabah FC akan sentiasa mendapat tempat istimewa dalam hati saya. Saya ucapkan selamat berjaya buat kelab dan penyokong pada masa hadapan,” tambahnya.
Pedro bakal menjadi pemain kedua menyertai Ho Chi Minh City selepas rakan senegara, Patryck. Penyerang Brazil itu melengkapkan perpindahan pinjaman dari kelab Madureira EC.