Litar Antarabangsa Zhuhai di Zhuhai, Guangdong, China bakal menjadi saksi ujian kedua buat Hafizh Syahrin Abdullah dan JDT Racing Team.
Ini kerana litar tersebut menjadi lokasi pusingan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 yang berlangsung pada hujung minggu ini.
Hafizh pastinya ingin meneruskan persembahan mantap yang dilakar JDT Racing Team di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand pada bulan lalu.
Beliau yang bersaing dalam kategori Asian Superbike 1000cc (ASB1000) pada awalnya hampa apabila jentera Ducati yang ditunggangnya mengalami masalah pada pusingan awal perlumbaan pertama.
Situasi ini menyebabkan beliau terpaksa kembali ke garaj dan tidak dapat menamatkan perlumbaan pertama kategori ASB1000.
Selepas pasukan mekanik JDT Racing Team berjaya membaiki jentera berkenaan, Hafizh bangkit dengan meraih tempat kedua dalam perlumbaan kedua kategori sama.
Beliau menamatkan perlumbaan di belakang juara perlumbaan kedua dari Indonesia, Andi Farid Izdihar. Sementara rakan sepasukan Andi dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat meraih tempat ketiga.
Kini, Zhuhai menjanjikan cabaran baru buat Hafizh dan JDT Racing Team. Menariknya, beliau pernah tampil cemerlang di litar ini menerusi Pan Delta Super Racing Festival 2010.
Hafizh yang bersaing dalam kategori Supersport meraih tempat kedua di belakang pelumba Hong Kong, Huang Shi Zhao untuk perlumbaan satu dan dua. Sementara M. Dwi Satria dari Indonesia pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Keazaman Hafizh untuk tampil cemerlang di Zhuhai turut diperlihatkan menerusi sesi latihan fizikal bersama pemilik pasukan, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram peribadinya, Tunku Mahkota Ismail dilihat tekun berlatih bersama Hafizh di gimnasium JDT.
Kesudian baginda turun berlatih bersamanya membakar semangat pelumba berusia 29 tahun itu untuk cemerlang di Zhuhai.
Pusingan kedua ARRC 2024 di Zhuhai, China bakal membuka tirainya dari 19 hingga 21 April ini.