Ultras Malaya menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula harga tiket perlawanan separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup 2026 antara Malaysia dan Vietnam.
Kumpulan penyokong membuat gesaan itu kerana melihat kenaikan harga tiket berkenaan sebagai tidak munasabah. Ini sama sekali berbeza dengan harga tiket perlawanan menentang Filipina ialah RM30.
Atas sebab itu, Ultras Malaya mahu satu penjelasan dikemukakan berhubung kenaikan harga yang disifatkan mendadak itu. Selain itu, mereka juga mahu harga tiket dikembalikan kepada harga asal iaitu RM30.
“Kami faham kos dan nilai sesuatu perlawanan boleh berubah. Tetapi kenaikan sebesar ini mesti dijelaskan. Atas asas apa FAM menetapkan harga RM50?
“Kalau berasas, jelaskan kepada penyokong. Kalau tidak, kembalikan harga Terbuka kepada RM 30.00. Tiket habis dijual hanya membuktikan permintaan wujud. Ia tidak bermaksud harga itu berpatutan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Ultras Malaya turut mengingatkan FAM bahawa badan induk itu pernah menurunkan harga tiket kepada RM30 selepas mengambil kira reaksi penyokong. Malah, harga tersebut turut dikekalkan untuk aksi separuh akhir edisi 2022.
“Pada Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, FAM pernah menurunkan tiket Terbuka daripada RM 50.00 kepada RM 30.00 selepas reaksi penyokong.
“Apabila Malaysia mara ke separuh akhir menentang Thailand pada Januari 2023, harga terbuka RM30 itu dikekalkan. Kalau RM 30.00 boleh dikekalkan untuk separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, mempertikaikan RM 50.00 di Cheras bukan tuntutan melampau,” tambahnya.
Malaysia dijadual bertemu Vietnam untuk aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 16 Ogos. Ini disusuli aksi timbal balik di Hanoi, Vietnam pada 19 Ogos.