Selepas beberapa lama, akhirnya penyertaan pemain sayap PJ City, V. Ruventhiran dalam pasukan Selangor telah disahkan secara rasmi. Hal ini dikongsikan oleh dua wartawan sukan, T. Avienshwaran dan Zulhelmi Zainal Azam di akaun Twitter mereka hari ini.
Berupaya bermain di bahagian tengah (sayap) dan pertahanan (bek), ini membolehkannya beraksi di mana-mana posisi yang dimahukan jurulatih Tan Cheng Hoe mengikut strategi perlawanan. Sepanjang musim 2022, Ruventhiran menjadi tonggak utama PJ City FC bersaing dalam Liga Super walaupun tidak dibarisi pemain import.
Kecemerlangan pemain berusia 21 tahun itu memikat jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon di mana dia dipanggil menyertai pasukan kebangsaan pada Mei lepas. Ruventhiran kemudiannya membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Brunei.
Ketika ini, Ruventhiran menyertai pasukan kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2022. Dengan pengesahan berita perpindahannya, dia menyertai bakal rakan sepasukannya dalam pasukan kebangsaan iaitu Mukhairi Ajmal, kapten Brendan Gan, Aliff Haiqal, Sharul Nazeem dan Nor Hakim Hassan. Duo yang dikaitkan dengan Merah Kuning iaitu Khuzaimi Piee dan Faisal Halim juga merupakan tonggak Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan tersebut.