Pengendali pasukan Belanda, Louis Van Gaal secara terbuka meluahkan bahawa pemilihan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia dilihat sebagai satu tindakan yang hanya bersifat komersial dan mahukan wang oleh badan induk FIFA.
Jurulatih berusia 70 tahun itu menegaskan bahawa pemilihan negara di timur tengah itu hanyalah satu rancangan oleh FIFA disebabkan negara tersebut mampu untuk memberi keuntungan yang cukup besar buat badan tersebut.
Dalam satu sidang akhbar sebelum menentang Denmark, beliau telah pun menyatakan mengenai tindakan mengadakan Piala Dunia pada November itu merupakan satu keputusan yang sangat tidak masuk akal.
‘Saya adalah ahli jawatankuasa dengan [Setiausaha Agung KNVB] Gijs de Jong. Kami bertemu dan kemudian saya mendengar apa yang telah dipersetujui dengan negara lain.’
‘Kemudian saya mendengar apa yang boleh kita lakukan dan saya memberikan komen saya, ’-Jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Bekas jurulatih Manchester United itu menambah, beliau tidak akan berada dalam organisasi FIFA dan UEFA disebabkan dirinya sering menyatakan sesuatu perkara secara lantang dan terbuka.
Van Gaal juga turut merasakan bahawa alasan yang digunakan oleh FIFA untuk memilih Qatar dengan alasan untuk membangunkan bola sepak merupakan satu alasan yang sangat mengarut.
‘Kami bermain di negara yang FIFA katakan mereka mahu membangunkan bola sepak di sana.’
‘Itu memang bodoh tetapi ia tidak penting. Ia mengenai wang, mengenai kepentingan komersial. Itu penting dalam FIFA.’
Belanda bakal berdepan cabaran Denmark pada Sabtu sebelum bakal turun menentang Jerman pada hari Selasa.