Advertisement

Follow us:

“VAR Perlu Digunakan Dalam Semua Liga ASEAN” – Safawi Rasid

Safawi Ratchaburi 1 "VAR Perlu Digunakan Dalam Semua Liga ASEAN" - Safawi Rasid
Ratchaburi FC
Azim Noor
@mohdazim45
5:28pm 09/02/2023
Pivo

Penggunaan VAR dalam liga-liga ASEAN terus mendapat sokongan para pemain rantau itu. Terbaru, giliran kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid pula menyatakan sokongan dan menambah ia seharusnya digunakan dalam semua kejohanan bola sepak ASEAN.

Hal ini dinyatakan oleh pemain pasukan Ratchaburi itu semasa ditemubual portal Main Stand. Ini kerana menurut Safawi, ia dapat memantapkan lagi aspek profesionalisme dalam kalangan pengadil bola sepak.

Contoh yang paling mudah ialah insiden membabitkan dirinya yang diterjah Mika Chunuonsee semasa perlawanan Liga 1 Thailand Ratchaburi-Lamphun Warriors. Chunuonsee yang pada awalnya dikenakan kad kuning kemudiannya dibuang padang oleh pengadil selepas insiden itu dikesan oleh VAR.

“Saya fikir VAR patut digunakan dalam semua kejohanan ASEAN. Baru-baru ini, dalam satu perlawanan menentang Lamphun (Warriors), seorang pemain pertahanan (Mika Chunuonsee) menerjah buku lali saya tanpa menyentuh bola.

“Saya kemudiannya mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan permainan. Pada awalnya, pengadil hanya memberinya kad kuning tetapi setelah memeriksa semula dengan VAR, dia membuat keputusan tepat dengan menukarnya kepada kad merah atas alasan terjahan merbahaya.

“Detik-detik sebegini yang membuatkan saya percaya VAR amat diperlukan di liga-liga ASEAN,” katanya.

Safawi bernasib baik apabila kecederaan yang dialami tidaklah seteruk seperti yang disangka. Pemain sayap yang dipinjamkan dari JDT itu kemudiannya muncul sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Nongbua Pitchaya beberapa hari lepas.

Kemasukannya sebagai pemain gantian mendapat reaksi positif para penyokong yang lega Safawi dapat kembali membantu Ratchaburi memburu kedudukan terbaik dalam liga.

Safawi bukan satu-satunya pemain dikenali yang menyokong perlaksanaan VAR di rantau ASEAN. Bek kiri Thailand dan Buriram United, Theerathon Bunmathan juga berharap VAR segera dilaksanakan bagi melindungi keselamatan dan kebajikan pemain di atas padang.