Vietnam mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengikat pasukan Jepun dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Saitama, Jepun menyaksikan anak buah Park Hang-Seo beraksi dengan cukup meyakinkan. Vietnam menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 perlawanan menerusi pemain sensasi, Nguyen Thanh Binh.
Sepakan penjuru yang diambil Công Phượng meluru cantik di hadapan gawang Jepun sekaligus terus disambar melalui satu tandukan sempurna daripada Nguyen Thanh Binh.
Bagaimanapun Jepun tidak mengaku kalah, anak buah Hajime Moriyasu akhirnya berjaya menyamakan kedudukan dalam babak kedua perlawanan.
Pada minit ke-54 permainan Maya Yoshida, memanfaatkan bola muntah hasil tangkapan kurang kemas penjaga gol Vietnam, dengan satu rembatan deras. Jaringan tersebut memastikan Jepun terus selesa mengawal padang apabila mereka berjaya melakukan sebanyak 24 percubaan dan 8 percubaan tepat.
Memasuki babak 30 minit akhir perlawanan, kedua-dua pasukan saling bertukar hantaran, mengasak demi mencari jaringan tambahan. Bagaimanapun keputusan masa penuh terus kekal, Jepun 1-1 Vietnam.
Kendatipun begitu, prestasi semasa skuad kebangsaan Vietnam wajar sekali dipuji. Permainan bermutu dan bertenaga yang ditampilkan para pemain Vietnam membuktikan skuad kendalian Park Hang-Seo ini berada pada tahap yang terbaik.
Mereka mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan Jepun yang kini berada di ranking ke 23 dunia sungguhpun gagal mengutip tiga mata penuh. Keputusan ini juga sekaligus bakal menaikkan ranking FIFA buat pasukan Vietnam. Syabas Vietnam.