Wan Kuzain Terbuka Beraksi Di Liga Malaysia
MakanBola
Sporting JAX

Pemain tengah Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal tidak menolak kemungkinan beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Sejak mula beraksi pada 2016, majoriti karier pemain kelahiran Carbondale, Illinois itu dihabiskan dalam saingan bola sepak Amerika Syarikat (US).

Malah, Kuzain juga sudah merekodkan lebih 200 penampilan sebagai pemain profesional baru-baru ini. Pada masa sama, beliau tidak menolak untuk meneroka cabaran baharu termasuk beraksi di Liga M.

Adik Kuzain, Wan Kuzri turut berkongsi perkembangan terkini Liga M dengannya. Atas sebab itu, bekas pemain St. Louis City 2 (STL2) itu bersedia menilai sebarang tawaran yang dikemukakan jika ada pasukan yang berminat.

“Kita tidak tahu, pada akhirnya, ia bola sepak dan karier anda amat pendek,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

“Ketika ini, saya gembira di Amerika, sudah 10 tahun saya di sana. Karier 10 tahun yang cukup bagus setakat ini. Siapa tahu saya mahu mencuba sesuatu yang baru, jadi saya agak terbuka.

“Adik saya banyak bercakap perkara-perkara bagus (mengenai Liga Malaysia) dan mana tahu kami boleh beraksi bersama di sini nanti.”

Kuzain kini fokus membantu Harimau Malaya menghadapi saingan ASEAN Hyundai Cup. Beliau dinamakan sebagai pemain simpanan untuk aksi pertama Kumpulan B menentang Myanmar.

Sekiranya khidmatnya diperlukan Tan Cheng Hoe sebagai pemain gantian, Kuzain berpeluang meraih penampilan pertama bersama skuad negara. Ini sekaligus menamatkan penantian tujuh tahun beliau untuk berbuat demikian.